Wednesday, December 9, 2009

Tiada yang mustahil dengan izin ALLAH S.W.T

Dalam hidup ini, semua manusia pasti melakukan kesalahan (kecuali para Nabi dan Rasul sahaja kerana mereka adalah maksum yakni sentiasa dipelihara olehh Allah dari membuat sebarang dosa. Sebagai manusia biasa, kita tidak dapat lari dari melakukan kesalahan dan dosa. Kita kenalah akui kelemahan kita. Pendek kata, sebagai manusia biasa, kita sering membuat dosa sama ada terhadap Allah dan juga kepada manusia lain. Sila fahami maksud saya, berdosa adalah perkara biasa tetapi kalau bergelumang dengan dosa, itu perkara luar biasa. Setiap manusia ada dosa, ini sudah pasti. Justeru itu, bolehkah kita sewenang-wenangnya melakukan dosa kerana atas dasar kefahaman bahawa manusia itu lemah?

Dalam hakikat ilmu tasawuf ada menyebut bahawa dosa itu adalah ibarat api yang sentiasa membakar. Sama ada api itu besar atau kecil, ia mampu memberi kesakitan dan kemusnahan kepada diri manusia. Tidak mungkin ada manusia yang boleh bertahan bila dikaitkan dengan api (kecuali Nabi Ibrahim, kerana mukjizatnya). Begitu juga dengan dosa, sama ada ianya kecil mahupun besar tetap ianya dosa. Kita sahaja yang mengistilahkannya begitu, namun dari sudut ilmu Tasawuf, setiap dosa boleh menjauhkan diri kita dari rahmat Allah. Semakin banyak dosa kita, maka semakin gelap hati kita. Mudah-mudahan jangan sampai sehingga akhir kalam, kita berada tersangat jauh dari rahmat Allah sehingga tidak mampu untuk menyebut kalimah suci, Laila hailallah…nauzubillah.

BANYAKKAN USAHA

Jadi banyakkan usaha sebagai ikhtiar dan berdoa agar Allah SWT memberikan kurnia nikmat-Nya yang penuh berkat bukan nikmat yang akan menyesatkan dan melupakan kita terhadap-Nya. Jangan berputus asa atas rahmat Allah, kerana orang yang berputus asa atas rahmat-Nya akan menerima kemurkaan Allah dan bakal memperoleh azab yang pedih. Yang penting dalam kehidupan ini adalah keberkatan hidup bukan kemewahan duniawi yang hanya bersifat sementara, kemungkinan akan melalaikan dan melupakan kita. Apa pun, mohonlah kekuatan dari-Nya agar disesuaikan iman dan kesabaran kita untuk menghadapi segala macam dugaan hidup untuk sepanjang usia kita. Sebaliknya, jangan pula kita meminta agar disesuaikan dugaan tadi mengikut keadaan iman dan kesabaran kita. Ini dua keadaan yang berbeza.

Sangat berbeza. Contoh, kita sudah tahu yang peperiksaan SPM bakal menjelang tiba pada penghujung tahun. Maka persiapkan diri dan sesuaikan diri kita dengan system peperiksaan tersebut. Bukannya menyesuaikan peperiksaan tersebut dengan keadaan diri kita.

BERSIFAT SEMENTARA

Sesungguhnya tidak ada mustahil dalam hidup ini, semuanya boleh berlaku dengan izin Allah. Justeru itu, sebagai manusia yang beriman, maka kit aperlu sentiasa positif dalam hidup ini. Setiap kekecewaan dan kegagalan dalam hidup ini, semuanya adalah bersifat sementara sahaja. Itulah ujian hidup namanya. Percayalah, setiap dugaan dalam hidup ini adalah berdasarkan kepada kemampuan dan kesesuaian dengan tahap keimanan seseorang. Allah maha adil dan maha mengetahui. Kesemua ada piawaiannya tersendiri. Kalau kita tidak tahan, dan gagal dalam ujialah kita akan hidup tersebut, bermakna kita tidak menepati piawaian yang Allah tetapkan. Inilah musibah yang sebenarnya. Kita sebenarnya TIDAK LAYAK untuk mendiami syurga Allah, Nauzubillah…

Lalu ke mana hala tuju kita sesudah itu? Cuma satu, pasrah dalam menerima azab Allah. Itu pilihan kita, maka disitu kita akan ditempatkan. Jangan mudah mengaku kalah dalam hidup ini. Bertahanlah dan sentiasa memohon keampunan dariNya. Kembalilah segera dan sesungguhnya Allah maha pengampun. Fikir2kan lah…

Mudah-mudahan kita akan menjadi insan yang lebih sabar dan lebih diredhai Allah di kalangan hamba-hambaNya, Amin…



p/s: dari majalah mingguan wanita....

No comments: