Tuesday, March 2, 2010

Cinta 53 bintang~1

Nana merungut-rungut di depan cermin sambil membetulkan tudung sutera merah di kepalanya. Sudah hampir setengah jam dia di depan cermin. Tangannya melaju seiring dengan mulut yang bising membebel. Tudung rasmi syarikat, berfabrik sutera 100% memang sentiasa mendatangkan masalah kepadanya dan juga kawan-kawan setiap kali diarahkan untuk memakai tudung itu pada majlis-majlis rasmi syarikat.

Hari ini dia diarahkan untuk menguruskan gerai pameran syarikatnya di KLCC bersempena PIPOC 2009. Nana membetul-betulkan kemeja putihnya dan bergegas memakai sandal. Telefonnya menjerit-jerit melagukan Tanpa menandakan Asrul sudah menunggu di bawah flatnya. Rinnie yang bertugas bersamanya melangkah seiring.

“Cantik tudung…” Ayat pertama Asrul mengundang senyuman di wajah Nana.

“Sindir nampak… Aku bangun pukul 5.30 tau pagi tadi sebab tudung ni...” Balas Nana.

“Tu la, geram betul kan Na…” Rinnie di belakang menambah.

“Lapar la… Drive-thru Mc D ya…” Nana mengosok-gosok perut. Asrul anggukkan saja. Tahu sangat dengan Nana. Makan Mc D tiap-tiap hari pun Nana sanggup. Berbeza benar dengar dirinya yang kurang menggemari makanan segera sebegitu.

Perjalanan ke KLCC dari Shah Alam memakan masa hampir 45 minit. Masing-masing membawa wajah ceria walaupun dalam hati, mereka sedikit gundah kerana pengunjung-pengunjung PIPOC bukanlah orang awam biasa, tapi pegawai-pegawai atasan dari dalam dan luar negara.

Setibanya di Dewan 6, mereka bergegas mencari gerai yang telah ditetapkan oleh pihak syarikat. Masih ada sejam sebelum pameran bermula. Produk-produk dan juga brosur-brosur berkenaan produk disusun rapi.

No comments: