Wednesday, September 7, 2011

Mencari kekuatan dariMu...

Semalam, demam aku sudah kebah. Yang tinggal cuma selsema. Tapi, berganti pula dengan Iman. Adik bongsu lelaki.

Semalam juga percubaan pertama merebus ikan (tapi kami panggil ikan kukus-dikukus dengan garam, asam keping dan juga sedikit nissan) untuk meniru kesedapan ikan kukus umi hampir gagal sebab terlebih garam sedikit. Tapi bayang-bayang ikan kukus umi sudah ada.

Banyak lagi masakan umi yang belum sempat aku korek rahsia resepinya dari umi. Entah apa pula hikmahnya bila kedua-dua buku berisi resipi masakan umi hilang entah ke mana.

Rasa mahu terduduk, tak sempat berpaut bila kehilangan umi secara tiba-tiba. Menu lontong yang dipinta abah belum mampu aku cuba memasaknya sesedap masakan umi. Rasa tak punya kekuatan untuk mencuba bimbang kecewa sendiri kiranya rasanya entah apa-apa.

Banyak lagi perkara yang ingin aku pinta pendapat umi.

Banyak lagi perkara yang ingin aku kongsikan dengan umi.

Ya, aku cuma insan biasa. Punya rasa sedih dengan tragedi sebegini.

Kiranya aku tahu saat-saat bersama umi selama 3 hari di hospital itu detik-detik terakhirnya, serasa ingin aku rakamkan segalanya.

Segalanya masih segar di minda. Saat menyuapkan umi makanan saat umi tidak lagi punya selera untuk makan.

Saat mengocakkan B'Young Advanced Functional Beverage untuk umi 3 kali setiap hari sebagai pengalas perutnya.

Saat memandikan umi. Saat menyabunkan dan menyampu rambut umi. Saat menyikat rambut umi dan juga saat membedakkan pipinya.

Kalau tahu itu saat terakhirnya bersama aku, sudah pasti akan kupeluk erat umi setiap detiknya.






Serasa tidak kuat. Bila lauk yang aku masak tak mencukupi untuk hidangan adik-adik. Bila ada adik yang tidak sihat. Bila ada adik yang merajuk tidak mahu makan, aku tidak kuat untuk menjadi setabah umi. Cekal berhadapan kerenah anak-anak.






Ya ALLAH, aku ini insan lemah. Kurniakan aku kekuatan. Aku ini hambaMu yang kerdil, kurniakan aku iman yang kuat. Aku ini anak yatim tanpa ibu, kurniakan aku sisa ketabahan dari kekasihMu itu....






Amin.






















No comments: