Wednesday, December 14, 2011

Saat terakhir 1

Aku tak pernah bercerita secara detail tentang saat-saat terakhir ini. Niat untuk menukilkan di laman blog ini memang ada. Sejak lebih 100 hari yang lepas. Namun kadang-kadang, aku serasa ingin menyimpannya dalam mindaku sendiri. Seorang diri. Kerana akulah satu-satunya saksi yang berada di sisi umi sehingga nafasnya yang terakhir. 

Namun akhir-akhir ini aku rasa aku sudah makin pelupa. Aku takut akan tiba satu saat di mana aku hampir melupai semua saat-saat berharga itu. 

Umi mula mengesan ada ketulan di payudara sebelah kanannya sejak hampir setahun lebih. Namun bila umi membuat pemeriksaan di sebuah klinik swasta di bandar Jerteh, doktor itu mengatakan ketulan itu normal dan doktor sendiri ada ketulan di payudaranya. 

Beberapa bulan kemudian, umi merasakan ketulan itu semakin membesar. Lebih kurang bersaiz ibu jari tangan di tepi kanan bahagian payudara kanannya. Kemudian umi membuat pemeriksaan sekali lagi di klinik swasta lain yang mana doktornya juga perempuan. Doktor itu terkejut apabila mendengan doktor pertama yang memeriksa umi berkata sedemikian. Beliau terus membuat surat dan menelefon HUSM Kubang Kerian supaya umi dapat diperiksa dengan lebih lanjut. 

Mulanya umi tidak berminat untuk dirujuk ke HUSM. Sebab umi sangat takut payudaranya dibuang. Dan juga takut untuk melalui rawatan kemoterapi. Masa tu kes Azean Irdawati yang baru mula sembuh dari breast cancer tengah panas di media massa dan ada dimuatkan di majalah MIDI. Umi banyak membaca tentang maklumat-maklumat berkenaan.

Tapi aku yang selalu memaksa umi untuk membuat rawatan di hospital. Masa tu umi banyak berubat cara kampung. Dan juga turut mengamalkan meminum jus Monavie dan juga VCO. Namun tiada perubahan yang dapat dilihat. 

Semasa aku pulang bercuti di kampung, aku memaksa umi untuk menghadiri temujanji yang telah ditetapkan di HUSM. Mulanya umi menolak, tapi melalui pembacaan dan rujukan kepada ibu saudara dan sepupu yang bergelar jururawat, aku berjaya meyakinkan umi bahawa major operation dan juga kemoterapi hanya akan dilakukan atas persetujuan pesakit. Kalau kita tak nak pun tak. apa. Aku bagitau umi, 'Kita gi check untuk tahu tahap berapa je. Pastu kalau umi tak nak gi lagi pun takpe.'

So, umi bersetuju untuk melakukan ujian mamogram. Masa tu lebih kurang bulan Februari kalau tak salah aku. Selepas ujian mamogram, umi turut melalui satu proses untuk mengambil tisu dalam ketulan itu. Masa tu, doktor yang memeriksa umi mengatakan mungkin kanser umi berada di tahap 3. Mulanya aku terkejut kerana mengikut apa yang pernah pelajari, kanser cuma ada 4 tahap. Tapi setelah merujuk kepada yang lebih pakar, mereka kata bergantung kepada jenis kanser. Dan kanser payudara mempunyai 6 tahap. Aku rasa sikit lega.

Selepas proses mengambil tisu dari ketulan tu, umi perasan ketulan itu semakin membesar. Temujanji seterusnya tidak lagi umi hadiri. Kami mula berusaha dengan pelbagai cara. Mengamalkan perubatan al-Quran dan al-sunnah di Peringat, milik bekas pensyarah UMK, Ustaz Halim. Selain itu, umi masih mengamalkan jus monavie. 

Aku dan ibu saudaraku pula rajin melayari internet untuk mencari ubatan tradisional ataupun rawatan yang berkenaan. Ibu saudaraku membelikan set ubatan dari HPA manakala aku membelikan umi biji aprikot sebagai salah satu usaha. 

Bulan 4 aku memujuk umi untuk ke HUSM sekali lagi. Aku sangat ingin tahu tentang keputusan pemeriksaan yang terdahulu. Kebetulan semasa praktikal di Muar, aku ada berjumpa dengan ibu kepada pelajarku, bekas pesakit kanser payudara tahap dua yang kini telah sembuh  sepenuhnya. Dialah yang banyak meyakinkan aku tentang rawatan perubatan di hospital lebih berkesan. Aku sanggup menelefon HUSM untuk membuat temujanji baru. Malangnya semua doktor yang berkenaan sedang exam dan tarikh terdekat adalah dalam bulan 5. Akhirnya kami hanya membuat temujanji untuk mendapatkan keputusan pemeriksaan tanpa berjumpa doktor. 

Dan keputusan pemeriksaan mengatakan kanser umi pada tahap 5. Sepanjang bergelar pejuang kanser, umi snaagt kuat semangat. Sentiasa posotif. Tidak pernah menunjukkan perasaannya yang bersedih. Umi tetap ceria memenuhi tanggungjawab sebagai guru jahitan di Murni Tailoring Centre. Semua pelajar amat menyenanginya.

Sebelum bulan Julai, akhirnya umi berjumpa dengan seorang pengamal perubatan tradisional yang agak serasi dengan umi. Kata-katanya yang penuh berisi nasihat, hadis dan kata semangat sedikit sebanyak melegakan kami. Seminggu mengamalkan ubatannya, banyak perubahan positif yang berlaku. Setelah sebulan, saiz payudara umi yang bengkak semakin berkurang saiznya. Seakan kembali ke saiz asal. 

Minggu kedua dalam bulan ramadhan, umi mula rasa tidak sihat. Badannya lemah. Aku ingatkan umi kurang makan kerana terlalu banyak makanan yang perlu dipantangnya. Namun umi tetap gagah untuk ke kelas. Juga tetap kuat semangat untuk menyiapkan kertas kerjanya untuk kursus menjadi VTO (Vokasional Training Officer) di ibu pejabat MTC di Pengkalan Chepa. 

Selepas itu umi mula demam. Aku membawakan umi ke klinik swasta kerana perutnya mula membangkak dan mengeras. Doktor kata cuma demam biasa dan mungkin ada gangguan penghadaman, iaitu masalah biasa di bulan ramadhan. 

Umi cuma sempat makan ubat demam dan angin tu dua hari dan aku meminta umi berhenti makan setelah terperasan matanya yan menguning. Umi juga mengatakan kencingnya berubah menjadi warna kuning pekat. Aku sangkakan masalah kekurangan air dan meminta umi meminum air masak yang banyak sebaik sahaja berbuka puasa. Namun, semakin teruk. Aku akhirnya menyarankan umi untuk tidak berpuasa dan minum air yang banyak. Namun selepas itu, umi menjadi sangat penat, tidak larat unutk berjalan walau hanya dari bilik ke dapur. Umi kerap tidur. Dan gusi mula berdarah. 

Kebetulan kakak tunangku yang bertugas di Hospital Besar Jerteh mengSMS aku kerana katanya dia mimpikan aku. Terus aku menelefonnya untuk bertanyakan simptom yang umi hadapi ni. 

Dia terus menyuruh umi dirujuk ke hospital kerana katanya, demam lebih dari 3 hari itu bahaya. Sedangkan ketika itu umi sudah seminggu demam. Demam pun selalunya di malam hari. 

21 Ogos 2011 bersaman 21 Ramadhan 1432 H
Umi dimasukkan ke hospital Jerteh. Dari pemeriksaan darah menunjukkan umi berkemungkinan terkena penyakit kencing tikus. Semasa dirawat umi tidak mahu langsung memberitahu doktor yang merawatnya bahawa dia penghidap kanser payudara kerana terlalu takut akan dibedah. 

Mujurlah ketika itu aku telah habis praktikal dan tinggal di rumah. Jadi aku yang menjaga umi di hospital. Sangat suka aku mengenang saat-saat menghabiskan masa bersama umi. Aku memang suka berkongsi dengan umi. Kalau berjauhan dari umi, pasti setiap malam aku akan menelefon umi. Bergaduh dengan tunang ataupun ketika itu masih bergelar kekasih pun aku ceritakan pada umi. 

Cuma hari pertama di hospital umi boleh berjalan ke bilik air sendiri dan mandi sendiri. Hari kedua, doktor masih tidak dapat mengenalpasti penyakit umi. Namum simptom banyak menunjukkan ke arah penyakit kencing tikus. Penyakit yang amat merbahaya dan banyak meragut nyawa manusia dengan singkat. Aku kerap menangis di bilik solat. Tidak sekalipun aku benarkan air mata aku jatuh di hadapan umi. Kerana umi perlu lihat anaknya kuat supaya dia juga dapat menjadi kuat. 

Selera makan umi jatuh merudum. Malam pertama di hospital merupakan malam terakhir umi dapat makan dengan berseleranya. Kebetulan salah seorang muridnya datang membawakan nasi, tom yam dan kerabu mangga buatan suaminya.    
*Terima kasih Kak Tie dan suami*

22 Ogos 2011 bersamaan 22 Ramadhan 1432 H
Hari kedua, puas aku memujuk dan memaksa umi makan. Aku yang menyuapkannya. Umi hanya makan beberapa sudu. Namun aku tak pernah lupa membancuhkan B'Young produk makanan berfungsi dari Zhulian 3 kali sehari sebagai pengganti hidangan sarapan pagi, tengahari dan malamnya. 

Tengahari itu aku sempat balik ke rmah sekejap kerana masa tu Amani (sepupu yang aku jaga berusia 8 bulan meragam, nenek aku meminta aku pulang tengokkan Amani). Dan aku sempat memasakkan Chicken Olio Spaghetti mengenangkan umi yang tidak berselera makan dan kegemaran umi terhadap sebarang spageti yang dimasak olio.  Dan umi cuma berselara makan sesudu. Itulah air tangan terakhirku buat umi. 

Hari kedua juga umi terpaksa ditolak dengan menggunakan kerusi sorong untuk ke tandas. Masa tu umi boleh mandi sendiri lagi. Namun wayar di kiri dan kanannya membataskan pergerakannya. 


23 Ogos 2011 bersamaan 23 Ramadhan 1432 H
Hari ketiga umi semakin hilang selera. Pagi tu, aku yang mandikan umi. Menyampu dan menyabunkan badannya. Sungguh aku tak tahu, itulah kali terakhir aku akan memandikan umi dalam hayatnya. 


Tengahari itu, ramai sungguh yang datang melawat umi. Aik beradik umi, rakan-rakan guru dari sekolah abah, dan juga staff dan juga pelajar dari MTC tempat umi mengajar. Sesungguhnya itulah saat terakhir mereka dapat bertemu umi ketika umi masih hidup. 

Pukul 1.30 tengahari, doktor yang merawat umi meminta kami bersiap kerana umi akan dihantar ke HUSM. Mujurlah ketika itu abah ada bersama. Segala urusan pendaftaran dan surat menyurat diuruskan oleh abah. Aku cuma mengemaskan barang-barang kami. 

Pukul 3 petang kami bertolak ke HUSM dengan menaiki ambulan manakala abah pulang ke rumah untuk mengambil adik beradikku untuk dibawa ke HUSM. 

Dari pukul 4 petang hingga ke 11 malam, 4 orang doktor yang datang memeriksa umi tidak dapat mengesan penyakit umi. Umi pula berkeras tidak mahu memberitahu tentang kansernya. Aku tidak sedikit pun pergi dari sisi umi. Maghrib itu, aku mencuri sedikit peluang untuk bersolat maghrib walaupun aku tidak ingin berjauhan dari umi. Aku meminta abah menjaga umi. 

Di bilik solat, air mataku yang aku tahan sejak dari tengahari terhambus sepuas-puasnya. Usai solat dan berdoa, dadaku terasa lapang. Alhamdulillah, saat aku nanar mencari haluan, ALLAH sentiasa ada. Dalam susah dan senangku. Maaafkan aku ALLAH kiranya saat bahagiaku, aku terkadang melupakanMu. 

Setelah solat, aku kembali ke tempat umi. Masih di unit kecemasan. Masa tu, kak long di sisi umi. Semangatku muncul kembali saat memeluk kak long. 

Aku turut menelefon kawan baik umi di Pengkalan Chepa. Telah lama mereka bersahabat. Hampir 22 tahun kalau tak salah aku. Dan berkat tulus persahabatan mereka, dapat jua bertemu di saat umi masih bernafas.
*Terima kasih Cik Saba & Cik Din kerana menjadi sahabat keluarga kami yang terbaik*

Sekembalinya aku dari menunaikan solat Maghrib, doktor yang ketujuh sedang merawat umi. Dan alhamdulillah, akhirnya doktor itu menemui punca penyakit umi itu. Doktor yang terakhir itulah yang membuka baju umi dan melihat rupanya ada kanser dipayudara kanan umi. Terkejut besar doktor itu.Amazingly, aku juga terkejut melihat nipple umi yang mengering. Sedangkan malam sebelumnya bahagian nipple berdarah dengan banyaknya akibat tergesel.  Saiznya juga sudah sama dengan saiz payudara kiri yang sihat. *Sikit pun aku tak sedar bahawa saat itu, mungkin sistem dalam badan umi telah shut down*

Dia kesal kerana umi tidak memberitahunya awal-awal. Aku ada juga menyarankan kepada umi untuk memberitahu hal itu kepada doktor, namun umi menolak. Umi kata, kalau doktor jumpa, jumpalah. Tapi umi tak nak bagitau.

Namun, setelah doktor menemui kanser tu, aku rasa lega sangat. Rasa beban yang berkilo di bahu aku hilang begitu sahaja. 

Ketika itu, doktor mengatakan hati umi sudah terkena infeksi. Dan air sudah mula masuk ke paru-paru. Sabab itulah umi sudah mula rasa sukar untuk bernafas. Dan ketika berada di dalam unit kecemasan itu, umi diberikan bekalan oksigen. 

Pukul 11 malam, umi disorong ke wad setelah usai ujian x-ray. 

11.15 malam, abah dan adik beradikku mula beransur untuk pulang. Hatiku tersentak saat umi tiba-tiba menggenggam tangan abah. Hatiku rasa tak sedap. Namun abah kelihatan biasa sahaja. Abah menggengam tangan umi sambil membaca ayat-ayat al-Quran. 

11.40 malam, aku selesai membersihkan badan umi, membawanya ke tandas dan sebagainya. Umi meminta aku mengelap badan dan mukanya kerana tidak berkesampatan untuk mandi di tengahari dan malam. 

Aku bertanya samada umi lapar atau dahaga. Umi kata umi dahaga.Umi minum sedikit air 100 plus kerana rasa mulutnya pahit. Aku kemudiannya menyarankan umi untuk umi meminum air zam zam dan makan buah kurma. 

Dan makanan sunnah nabi itulah yang terakhir masuk ke mulut umi. 

Setelah siap memakaikan topeng oksigen ke muka umi, setelah selesai solat isyak aku mengambil keputusan untuk tidur sekejap. 7 jam berdiri di unit kecemasan benar-benar mencabar kekuatan fizikalku. Kaki terasa kejang. Aku menyapu minyak mestika dan meminta izin umi untuk tidur sekejap. Umi kelihatan tersangat penat. Berkali-kali aku berpesan pada umi untuk mengejutkan aku sekiranya memerlukan. 

24 Ogos 2011 bersamaan 24 Ramadhan 1432
1.40 pagi, mak cik penjaga katil sebelah mengejutkan aku. Mak cik tu memang tidak tidur. Dia ralit mengaji al-Quran. Umi kata dia ingin ke tandas. Berada di hospital itu sangat menguji kekuatan mental aku. Tidak seselesa wad di Hopital Jerteh. Namun aku gagahkan juga demi umi tersayang. 

Umi kata perutnya terasa panas seperti lepas makan makanan pedas. Sebab tu rasa nak membuang je. Keluar dari tandas, aku menegur umi yang menongkatkan kepalanya dengan menggunakan tangan. Aku bimbang kalau-kalau jarum itu mencucuk isi di tangan umi kalau kedudukannya teralih. 

Lalu umi meminta aku mengampu kepalanya kerana dia terasa betul-betul tidak larat. 

Sampai di katil, aku mengumpul seluruh kekuatan untuk mengangkat umi ke katil kerana umi memang tidak bertenaga langsung untuk menggagahkan dirinya. Sebaik sahaja aku letakkan umi di katil, aku terperasan jarum di tangan umi terkelepet. Belum sempat aku memberi tumpuan kepada jarum itu, aku rebahkan badan umi ke tilam. Dan umi tiba-tiba tersentak-sentak. Tangan umi masih melingkari pinggangku yang duduk di sisi kirinya. 

Berulang kali umi berkata, "Umi dah tak larat ni, Jie." 

Aku mula panik. Mak cik penjaga katil sebelah meminta aku mengajarkan kalimah syahadat kepada umi. Serasa seakan bermimpi aku sedang melalui detik-detik yang aku hanya pernah lihat di kaca televisyen. 

Kuat semangat aku saat itu, walaupun seorang diri, jauh dari keluarga. Jauh dari My Prince, jauh dari sanak saudara. Hanya aku dan umi. Dikelilingi saudara sesama Islam yang sangat prihatin. 

Aku menjerit meminta pertolongan mak cik itu untuk memanggilakan doktor. Sekelip mata sahaja dua orang doktor mendatangi kami bersama dengan jururawat yang bertugas. Mereka mula memeriksa denyutan jantung dan nadi umi. 

Dan aku tak henti mengajarkan umi mengucap dua kalimah syahadah. Mujurlah umi tak terlalai dengan godaan syaitan. Saat sedang bertarung dengan maut umi tak henti beristighfar, menyebut nama ALLAH, dan juga mengikut alunan kalimah syahadahku. Saat aku bercakap dengannya pun umi masih menjawab dengan betul. 

Aku sempat bercakap dengan umi buat kali terakhir. 

Aku tanya, "Umi kuat semangatkan?"

Umi jawab, "Hmmm."

Aku kata lagi, "Lawan la umi, jangan buat kak eg macam ni. Lawan. Umi kan kuat semangat."

Berulang kali perbualan itu kami ucapkan. Berselang dengan istighfar, seruan nama ALLAH dan juga kalimah shahadah. Aku tak sempat memandang jam. Yang aku tahu, umi cuma nazak sekejap. Berkat bulan ramadhan, umi pergi dengan tenang. Bibirnya tersenyum. Wajahnya tenang. Rautnya seperti terlena sahaja.

Saat itu, doktor yang merawat umi di unit kecemasan mencuit bahu aku. 

Katanya, "Keadaan mak awak memang dah sangat teruk. Kalau kita beri rawatan pun, dia takkan dapat survive. Redhalah. Lepaskanlah dia pergi dengan aman."

"Umi dah tak ada ke?" Aku seakan masih tidak percaya, kerana umi seakan cuma terlena. Doktor wanita yang masih muda itu menggangguk. 

Aku sangat tenang ketika itu. Aku tidak menangis meratap-ratap. Cuma air mata yang mengalir. Bersendirian di tempat orang membuatkan semangat aku kental. Aku cium pipi mi yang masih panas, dan sempat aku bisikkan "Kak Eg sayang umi"

Aku menelefon my paternal auntie yang berdekatan dengan HUSM. Saat itu aku baru menangis memintanya datang menemani aku. Kukhabarkan juga umi telah tiada.
Dan kemudiannya aku menelefon bapa saudaraku, memintanya membawakan abah ke HUSM untuk menuntut jenazah umi untuk dibawa balik. Kerana aku tidak benarkan abah memandu sendiri. Takut hilang kawalan. 

Aku juga menelefon adik-adik lelakiku yang sedang berkerja di Kemaman dan seorang yang sedang belajar di Paka. 

Setelah itu aku ke bilik air mengambil wudhuk dan menghadiahkan bacaan Yaasin buat kali pertamanya kepada arwah umi. Saat itu jenazah telah dipersiapkan oleh jururawat yang bertugas.


Mak cik- mak cik yang menjaga pesakit di ruang aku, terdapat 4 katil, datang memelukku memberi semangat. Meminta aku mengingat ALLAH. Memelukku seeratnya. 
*Terima kasih mak cik - mak cik, jazakallah hukhairan*

3.30 pagi, aku menemani abah menaiki van jenazah mengiringi umi pulang ke rumah kami buat kali terakhir. Sempat aku menghabiskan bacaan surah yaasin di sepanjang perjalanan itu. 

4 pagi, mungkin lebih kami tiba di perkarangan rumah. Lampu di luar dan di dalam rumah terang benderang. Pintu rumah dan juga pintu sliding luas terbuka menyambut kepulangan umi. Adik-adik lelaki, Anas dan Iman lengkap berbaju melayu. Semuanya meluru memelukku dalam tangisan. Saat itulah baru aku rasakan kesedihan yang sebenar. 

Kak long, abang long dan beberapa jiran telah mengemas rumahku dengan melapangkan ruang keluarga dari sebarang perabot. Memudahkan urusan pengurusan jenazah nanti.

Dinihari itu kami sekeluarga bersahur dengan air mata. 



tak pernah terpikir olehku
tak sedikit pun ku bayangkan
kau akan pergi tinggalkan ku sendiri
begitu sulit ku bayangkan
begitu sakit ku rasakan
kau akan pergi tinggalkan ku sendiri


BERSAMBUNG...

6 comments:

eliana said...

salam takziah kak... sory br tau psl ni..
mengalir airmata bc cite ni.. arwah mkcik yana dlu pon hav same case. sedih bila bc entry kak eg ni. terus teringat kt arwah mkcik n ank die..

tabahkan hati kak.. semoga Allah mencucuri rahmat arwah umi...

Miss Polaris said...

terima ksh yana. doakan arwah... doakan kekuatan kami sekeluarga. dpt kekuatan utk tulis entry ni hanya setelah 114 hr umi pergi.. wslm.

marinahunny said...

egie, menangis akak baca entry ni...terasa spt ada bersama .. semoga arwah umi egie ditempatkan dikalangan kekasih Allah. Sedekahlah Al-Fatihah dan doa bnyk2 utk ummi egie..

Miss Polaris said...

tima ksh kak na.. tu la, xsgka akn khilangan seorg ibu di usia 25 tahun.. dan umi berusia 47 tahun 11 bulan. sebulan 2 hari sblm bestdaynya yang ke-48... 6 hr sblm aidilfitri. tp redha. sbb itu yang terbaik unt umi, utk kami. Doakan umi ye kak na. salam.

akma said...

Alhamdulillah ummi pg dalam keadaan aman..syukurlah kita sebagai anak..really reminds me for arwah mak..akak lagi x sempat masa2 terakhirnya..Moga ditempatkan dikalangan para solehin.amin.Bertemulah kita di syuarga!amin..

Miss Polaris said...

TQ akak. al-fatihah untuk arwah mak akak...