Thursday, December 8, 2011

Umi...

Rindu ingin menatap lembut sinar matanya

Rindu ingin mengucup hangat tangannya

Rindu ingin mendengar gemersik suaranya

Rindu ingin menikmati enak masakannya

Rindu ingin memeluk mesra tubuhnya

Rindu ingin berkongsi suka duka dengannya


Rindu

Teramat rindu

Terlalu rindu


Umi yang amat memahami

Umi yang amat penyanyang

Umi pendengar terbaik

Umi penyejuk hati hangat aku

Umi yang tak pernah pilih kasih


Bersyukur padaMu ya Allah

Atas pinjaman anugerah yang tak ternilai ini

Biarpun sekejap cuma


Terima kasih ALLAH, 

kerana menyayangiku dengan nikmat ujian ini

Aku rindu umi

Aku tahu umi berbahagia dalam rahmatMu.

Terima kasih ALLAH, 

Aku tahu itu yang terbaik untuk kami semua

Kau lebih tahu. 



* * * * *

Hati anak mana yang tak tersentuh, tiap kali usai bersolat. Saat memanjatkan doa pada Yang Maha Kuasa, lidah kerap kali tersasul menyebut doa yang telah menjadi kebiasaan sejak bertahun lamanya.... 

Selalu terhenti rasa detak jantung, saat bibir melafazkan, "Ya ALLAH, panjangkanlah umur kedua ibu bapaku... "

Umi telah tiada, namun doa itu selalu terbit di bibir. Ya ALLAH, tempatkanlah kedua ibubapaku di syurga. Satukanlah keluarga kami di syurgaMu nanti.... 

Terlalu rindu dengan umi. Namun, aku bernasib baik. Umi selalu datang dalam mimpiku. Datang untuk merealisasikan segala impian aku yang tak sempat aku lakukan untuk umi. Umi sentiasa gembira dalam mimpiku. Walaupun tanpa suara, aku tahu umi berbahagia di samping Penciptanya...

Aku selalu menyebut pada umi, bila aku kerja nanti, aku ingin sekali membawa keluarga kami bercuti. Dan setelah pemergiannya, aku kerap bermimpi kami sekeluarga bercuti di pelbagai tempat yang berbeza bersama-sama dalam suasana penuh gembira. 

Terima kasih Ya ALLAH, terima kasih umi kerana hadir dalam mimpi anakmu yang terlalu rindu ini. 

Aku anak keras kepala. Baran tak menentu. Hangat hati berpanjangan. Kebiasaannya, umi sahaja yang mampu menyejukkan aku. Tanpa perlu berkata apa-apa. Hanya dengan mendengar luahan hatiku sahaja. Dan kini, segalanya rasa terlalu sukar. Untuk belajar melembutkan hati dalam sekelip cuma. Segalanya perlukan masa yang panjang. Untuk aku belajar memaafkan dan melupakan.

Umi, esok kami akan pergi melawat umi. Banyak yang kak Eg nak share dengan umi.... Umi doakan Kak Eg dari sana ya.... Sayangggggg umi.

My beautiful umi....

...107 hari tanpa umi... 
...Al-fatihah...

No comments: